Blog Post

07 Mar
By: Legasi 0

Pembangunan Modal Insan

Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah pelopor dan pengasas kepada satu konsep baru dalam gagasan pemikiran dan pembangunan negara Malaysia iaitu ‘Pembangunan Modal Insan’. Beliau berpendapat bahawa konsep baru ini amat penting kerana ia akan melengkapkan lagi proses pembangunan fizikal negara.

Beliau telah mencetuskan revolusi idea dalam memberi penekanan terhadap usaha membangunkan Modal Insan sebagai satu landasan kecemerlangan generasi hadapan. Generasi hadapan merupakan aset insani Malaysia yang paling penting dalam usaha kerajaan merealisasikan kewujudan sebuah negara yang Maju, Cemerlang, Gemilang dan Terbilang menjelang Wawasan 2020. Modal insan bermaksud sesuatu yang digunakan sebagai asas untuk pengembangan dan kelebihan yang dimiliki. Manusia pula boleh memperolehi sesuatu yang dihajati hanyalah melalui ilmu pengetahuan dan pendidikan.

Bagi merealisasikan matlamat tersebut, negara sentiasa berusaha menyediakan tenaga kerja berwibawa yang berbekalkan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang, termasuk sains dan teknologi.

Teras bagi Dasar Pembangunan Modal Insan ialah:

  1. Melaksanakan penambahbaikan terhadap sistem penyampaian pendidikan dan latihan.
  2. Memperkasakan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan utama rakyat Malaysia yang berbilang kaum bagi meningkatkan perpaduan negara.
  3. Melaksana langkah bagi merapatkan jurang prestasi antara sekolah luar bandar dan bandar termasuk mempertingkatkan kualiti pengajaran, prasarana, dan kemudahan serta menempatkan guru berpengalaman di sekolah luar bandar.
  4. Membangunkan universiti bertaraf antarabangsa.
  5. Menyediakan lebih banyak peluang dan akses kepada pendidikan latihan dan pembelajaran sepanjang hayat.
  6. Membangunkan masyarakat inovatif dan kreatif, yang mempunyai pengetahuan dan keupayaan sains dan teknologi yang kukuh.
  7. Memperkukuhkan perpaduan nasional dan membangunkan masyarakat yang mempunyai perspektif progresif, budaya prestasi tinggi, sistem nilai-nilai luhur serta menghargai tradisi dan warisan.
  8. Memperluaskan dan memperkemaskan forum perbincangan dan perundingan antara kerajaan, sektor swasta, ibu bapa dan masyarakat dalam pembangunan modal insan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *