Blog Post

Aktiviti yang berlansung sepanjang tahun 2016/2017
07 Mar
By: Legasi 3

FORUM ON ISLAM, CIVILIZATION AND SCIENCE (FICAS 2017)

Oleh: Dr. Zul Ilham Zulkiflee Lubes

Pertubuhan Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan kerjasama Persatuan Alumni Kyoto Malaysia (MYKYOTO) dan Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia telah menganjurkan Forum Islam, Peradaban dan Sains (FICAS 2017) bertempat di Hotel Marriott Putrajaya. Forum ini turut dianjurkan bersama oleh Pusat Pengajian Asia Tenggara (CSEAS) Universiti Kyoto, Jepun. Forum ini diadakan bagi menggalakkan dialog di antara pakar-pakar tempatan dan antarabangsa merangkumi bidang Sains dan Peradaban serta Islam dalam Arus Kemodenan.

Forum sesi pertama yang bertemakan Sains dan Peradaban telah dipengerusikan oleh Dr. Zul Ilham Zulkiflee Lubes (Universiti Malaya/ MYKYOTO) dan tiga orang panel ternama; Prof. Dr. Kayo Inaba (Timbalan Presiden Eksekutif Kesaksamaan Gender, Hubungan Antarabangsa dan Awam Universiti Kyoto, Jepun), Prof. Dr. Ismail Abustan (Universiti Sains Malaysia) dan Prof. Dato’ Dr. Mohd Yusof Othman (Pengarah, Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia). Dalam sesi ini, panel-panel telah berbincang berkenaan kepentingan penerapan nilai-nilai kemanusiaan dan etika dalam sains agar perkembangannya selaras dengan ketamadunan manusia dan kemaslahatan umum.

Prof. Kayo Inaba dalam pengenalannya membincangkan pencapaian Universiti Kyoto dengan memperkenalkan pemenang-pemenang anugerah Nobel, field medallist, anugerah Jepun dan anugerah Kyoto. Beliau sendiri adalah pemenang anugerah L’oreal-UNESCO Woman in Science 2014 berdasarkan pencapaian beliau dalam penyelidikan biologi sel dan biomolekul. Beliau turut mengupas sumbangan-sumbangan saintis-saintis Jepun kepada masyarakat. Secara keseluruhannya beliau menekankan peri pentingnya prinsip kebebasan dalam bidang penyelidikan dan disiplin yang tinggi bagi menggalakkan penemuan-penemuan yang cemerlang.

Mengambil pendekatan yang sedikit berbeza, Prof. Ismail Abustan memulakan perbincangan dengan menerangkan fasa-fasa dalam hidup seseorang penyelidik dan bila mana kematangan itu dapat menyumbang kepada inovasi dan pencapaian dalam sains. Beliau turut mengupas bagaimana ayat-ayat Al-Quran telah memberikan tips serta panduan dalam pengurusan air dan juga perubahan iklim.

Sesuai dengan peranan beliau menerajui Institut Islam Hadhari, Prof. Dato’ Dr. Mohd Yusof Othman menggarap pengenalannya menelusuri sejarah dunia Islam, pertembungannya dengan dunia sains moden dan inovasi-inovasi yang tercipta. Beliau tegas menekankan kepentingan elemen kerohanian dalam sains dan teknologi supaya inovasi yang dihasilkan mengambil kira aspek kemanusiaan dan keseimbangan alam sekitar.

Forum kedua dipengerusikan Prof. Dato’ Ir. Dr. Hassan Basri (Universiti Kebangsaan Malaysia) yang bertemakan Islam dalam Arus Kemodenan. Panel-panel yang terdiri daripada Prof. Dr. Hashim Kamali (CEO, IAIS), Prof. Dr. Yasushi Kosugi (Pengarah Hadhari Center, Universiti Kyoto) dan Prof. Datuk Dr. Azizan Baharuddin (Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia) telah secara serius membincangkan peranan Islam dalam pembangunan masa kini dan kepentingan untuk terus memastikan nilai Islam tidak hilang dalam perancangan polisi dan pentadbiran.

Prof. Hashim Kamali mengupas peranan Institute of Advance Islamic Studies (IAIS) dalam mengembangkan prinsip Islam untuk diterapkan dalam penggubalan polisi dan perancangan ekonomi. Beliau yang telah menerbitkan lebih 300 artikel akademik sememangnya tidak asing lagi dalam bidang ini dan sentiasa memastikan institute ini terus menyumbang kepada perkembangan Islam walaupun terdapat pelbagai cabaran masa kini.

Bagi mendepani cabaran sebagai umat Islam di peringkat global, Prof. Yasushi Kosugi menekankan kepentingan ukhwah dan solidariti bagi memastikan hak-hak umat Islam di seluruh dunia terpelihara. Beliau memberikan beberapa contoh di mana umat Islam patut lebih giat membantu sesama ummah dan bagaimana prinsip kesatuan ini dapat membawa masyarakat ke arah pemodenan yang lebih harmoni dan aman.

Prof. Datuk Dr. Azizan dalam ucapannya mencadangkan Islam memainkan peranan yang lebih dalam mendepani cabaran-cabaran masa kini seperti perubahan iklim dan pembawa mesej keamanan sejagat. Beliau turut menyelar pihak-pihak yang telah menyalahgunakan buku-buku agama bagi menerapkan unsur-unsur yang terpesong dan menggesa pengguna berhati-hati dalam memilih bahan bacaan. Beliau turut menyokong inisiatif Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Badawi dalam menyediakan platform perbincangan seperti forum ini agar budaya percambahan dan perkongsian ilmu dapat terus dihidupkan.

Seorang peserta forum, Puan Sheriffah Noor Khamseah Al-Idid juga menyatakan sokongan beliau terhadap forum-forum seumpama ini dan berminat untuk mendengar topik-topik yang lebih mencabar seperti pandangan Islam terhadap penjanaan tenaga menggunakan tenaga nuklear serta bagaimanakan Islam dapat berperanan dalam pengurusan risiko.

Forum ini telah berjaya dihadiri lebih 400 orang peserta yang terdiri dari pelbagai latar belakang termasuklah ahli akademik, pakar agama, penggubal polisi, pemimpin komuniti dan turut mendapat perhatian golongan professional muda dan pelajar institut pengajian tinggi. Sesetengah peserta forum turut berharap agar kertas kerja forum ini dapat diterbitkan dalam bentuk monograf sebagai rujukan di masa hadapan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *