News Categories: Affairs

09 Mar
By: Legasi 0

SAMBUTAN MAJLIS HARI RAYA AIDILFITRI OLEH PERTUBUHAN LEGASI TUN ABDULLAH AHMAD BADAWI

Oleh: Cik Fatin Amirah Fuad

Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi telah menganjurkan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang pertama pada 9 Julai 2017 (Ahad) di Menara Prisma, Putrajaya. Majlis tersebut berlangsung dengan penuh kemeriahan dan kesyukuran oleh ahli keluarga Tun Abdullah Ahmad Badawi, rakan seperjuangan dan kenalan dari pelbagai institusi dan agensi yang telah banyak berkerjasama dengan Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri ini juga bertujuan untuk meraikan anak-anak yatim dari Rumah Kebajikan Baitul Sakinah Al Hidayah dan Baitul Sakinah Wal Mahabbah dari Kota Warisan untuk bersama meraikan hari raya yang penuh bermakna. Kehadiran anak-anak yatim seramai 60 orang ini pastinya telah menyerikan lagi majlis tersebut di samping dapat berkongsi kegembiraan sama rata. Kehadiran tetamu dari pelbagai kaum juga dapat melihatkan bahawa semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia masih menyubur dan kuat. Senario seperti ini menunjukkan bahawa betapa masyarakat di negara ini amat meraikan kehidupan sosial masyarakat majmuk yang menikmati pelbagai budaya dan gaya hidup.

Sambutan hari raya tersebut bukan sahaja dianjurkan untuk mengeratkan tali silaturrahim di antara para hadirin, malahan ia dilihat sebagai satu wadah untuk mengenali Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan lebih dekat. Majlis sambutan ini diadakan dengan suasana yang santai di mana slot bagi soalan kuiz telah disediakan bagi memberi peluang kepada tetamu yang hadir untuk berkongsi pengetahuan mengenai pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi serta memberi pendedahan kepada para jemputan tentang perjalanan Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi yang bakal meneruskan kesinambungan cetusan idea oleh Tun Abdullah. Di samping menikmati pelbagai juadah yang disediakan, para hadirin juga dapat menambahkan pengetahuan am serta mengambil peluang untuk mencurahkan idea melalui kertas cadangan yang diedarkan bagi menggalakkan penambahbaikan terhadap struktur Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Selain daripada sudut pameran, kaunter jualan buku juga disediakan bagi memberi peluang kepada hadirin untuk mendapatkan naskah “Being Abdullah Ahmad Badawi: The Authorized Biography”, hasil tulisan Dato’ Wong Sulong yang turut memaparkan keperibadian dan sejarah pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi. Sambutan yang amat menggalakkan menunjukkan bahawa masyarakat hari ini masih berminat untuk mempelajari sejarah pentadbiran negara.

Read More