News Categories: Business

09 Mar
By: Legasi 0

MAJLIS PELANCARAN SYARAHAN TUN ABDULLAH AHMAD BADAWI

Oleh: Prof. Madya Dr. Rasidah Arshad

Bersempena dengan Syarahan Tun Abdullah Ahmad Badawi, Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan kerjasama Pusat Kajian Sumber Manusia (CHREST), Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia telah menganjurkan Forum Modal Insan pada 25 Mei 2017 bertempat di Hotel Marriott Putrajaya. Sebelum forum dimulakan, Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah menyampaikan ucaptama dan melancarkan Syarahan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang berlangsung di hadapan lebih daripada 600 orang jemputan. YAB Perdana Menteri menyifatkan YABhg. Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah sebagai seorang tokoh negarawan budiman dan terbilang yang cenderung mengangkat mertabat Islam dan golongan agamawan. Perdana Menteri Malaysia Kelima yang dikenali sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan telah mengetengahkan kepentingan modal insan dalam pembangunan negara. Tun Abdullah sering menekankan pemupukan dan pembangunan kemahiran insaniah sebagai elemen yang terpenting dalam memacu pemodenan dan kemajuan negara. Selain modal insan, Tun Abdullah Ahmad Badawi turut mengimbangkan pembinaan tamadun negara, “civilization approach in Islam” yang diselaraskan dalam pemikiran beliau melalui kerangka Manhaj Islam Hadhari dengan 10 prinsip penting antaranya, keimanan dan ketakwaan kepada Allah, kerajaan yang adil serta beramanah, penguasaan ilmu pengetahuan, kehidupan berkualiti dan keutuhan budaya serta moral.

Selain Tun Abdullah Ahmad Badawi, turut hadir sama dalam majlis tersebut adalah Tuan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob; pengerusi Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), Tan Sri Sidek Hassan; Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh; Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Azman Mokhtar dan dif-dif kehormat. Penganjuran program Syarahan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang bersifat ilmiah dan advokasi dianjurkan dalam bentuk syarahan umum, forum atau bicara negarawan, khususnya berkenaan topik yang berkaitan dengan legasi pemikiran Tun Abdullah Ahmad Badawi telah dirancang sebagai acara tahunan Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi. Program ini memberi peluang kepada para sarjana dan tokoh dari pelbagai bidang untuk berkongsi pengalaman, pandangan, membicara dan mewacanakan sumbangan Tun Abdullah Ahmad Badawi sepanjang penglibatan beliau di dalam pentadbiran dan pembangunan Malaysia. Antara tujuan utama program ini diadakan adalah untuk melahirkan minda masyarakat yang bersifat terbuka dan kritis terutamanya dalam membincangkan isu-isu yang relevan dengan perkembangan arus dunia yang semakin pesat dan mencabar.

Siri Syarahan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang pertama kali diadakan ini menumpukan kepada pembangunan modal insan yang merupakan satu daripada legasi utama pemikiran Tun Abdullah semasa menjadi Perdana Menteri Malaysia yang kelima. Program syarahan modal insan yang diadakan dalam format forum dengan tema “Pemerkasaan Modal Insan Memacu Negara Terbilang” telah menampilkan tiga tokoh utama yang mewakili golongan akademik, wanita dan belia sebagai ahli panel. Mereka adalah Naib Canselor UKM, YBhg Prof. Dato Seri Dr. Noor Azlan Ghazali, Rektor UIAM, YBhg Prof Dato’ Sri Dr Zaleha Kamaruddin, dan wakil Parlimen Belia Malaysia, Encik Shahril Sufian Hamdan, manakala selebriti TV Tuan Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar bertindak sebagai moderator.

Prof. Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali telah menyentuh tentang peranan institusi pendidikan di mana modal insan menerusi sistem pendidikan di Malaysia perlu mempunyai sikap, upaya dan kompetensi untuk berubah. Bagi menghadapi cabaran 30 tahun yang akan datang, sistem pendidikan di Malaysia perlu mempunyai corak dan program yang lebih pantas. Sistem pendidikan yang dahulu perlu melalui penciptaan semula agar ia seiring dengan perubahan teknologi dan kepantasan inovasi. Untuk menjadi 20 negara yang terbaik di dunia menjelang 2050, Malaysia perlu mempunyai keupayaan yang unik tidak kira sektor ekonomi yang dikhususkan untuk menjadi juara di peringkat global.

Prof. Dato’ Sri Dr. Zaleha pula menyentuh tentang keupayaan dan kepimpinan wanita dalam menghadapi cabaran untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju.  Senario kini melihatkan semakin ramai golongan wanita berpendidikan tinggi, dalam guna tenaga kerja di Malaysia, sebanyak 57% terdiri daripada golongan wanita. Beliau percaya bahawa semakin ramai wanita yang terdidik akan memudahkan pentadbiran negara dan institusi kekeluargaan juga akan menjadi lebih tersusun. Prof. Dato’ Sri Dr. Zaleha melihat bahawa keperluan kepada excellence with soul atau kejayaan dengan jiwa adalah sangat penting di mana perlu ada jiwa yang berpaksikan kepada kemanusiaan. Wanita perlu berjiwa besar untuk bersedia dengan cabaran 30 tahun akan datang di mana mereka perlu diberi ruang dan peluang untuk menyumbang kepada negara.

Dalam pembangunan modal insan di dalam era pasca-moden, golongan belia juga perlu bersama mendokong usaha negara melalui sifat yang fleksibel dan berdaya lentur. Encik Shahril Sufian Hamdan berpendapat bahawa kemahiran insaniah dan peningkatan nilai tambah di dalam individu adalah perlu bagi melangkaui kemahiran teknikal. Golongan belia kini melalui cabaran dari nilai kesejagatan hasil daripada globalisasi. Sehubungan dengan itu, nilai kenegaraan perlu merentasi pembangunan fizikal. Generasi muda perlu menjiwai perlembagaan manakala identiti kenegaraan perlu diwujudkan untuk menempuhi cabaran 10 ke 15 tahun akan datang termasuklah konflik polarisasi. Golongan belia perlu sentiasa bersedia dalam membantu negara menghasilkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang selari dengan matlamat TN50.

Read More