News Detail

Aktiviti yang berlansung sepanjang tahun 2016/2017
Legasi March 9, 2017

MAJLIS PELANCARAN BUKU “BEING ABDULLAH AHMAD BADAWI: THE AUTHORIZED BIOGRAPHY”

Oleh: Dato’ Wong Sulong

Majlis Pelancaran bagi buku “Being Abdullah Ahmad Badawi: The Authorized Biography” merupakan majlis sulung anjuran Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi yang diadakan pada 31 Oktober 2016 (Isnin) di Sime Darby Convention Centre. Majlis pelancaran buku ini telah disempurnakan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah dan DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim. Turut hadir, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tun Musa Hitam dan beberapa Menteri Kabinet yang lain.

Buku hasil tulisan 457 halaman ini merupakan idea yang dicetuskan bagi menghasilkan bahan ilmiah yang berguna kepada masyarakat dengan memuatkan sejarah dan latar belakang kehidupan Tun Abdullah Ahmad Badawi serta liku perjalananya di dalam pentadbiran dan politik negara. Di sepanjang enam tahun pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi, beliau telah menyumbangkan kemajuan dan keseimbangan dari segi pembentukan modal insan, integriti, pembangunan koridor wilayah dan pelbagai lagi. Berikutan dengan itu, penghasilan buku ini merupakan penceritaan semula tentang apa yang telah diusahakan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi yang mungkin tidak diketahui oleh masyarakat kini selain daripada memberi kefahaman yang lebih mendalam tentang konsep pentadbiran di bawah kepimpinan beliau.

Majlis Pelancaran Buku ini juga menyaksikan Datuk Ramli Sarip turut sama dalam majlis tersebut menyampaikan lagu puisi ‘Ku Cari Damai Abadi’ dan ‘Perjalanan Hidup’. Puisi ‘Ku Cari Damai Abadi’ merupakan nukilan dari Tun Abdullah Ahmad Badawi sendiri di mana beliau menekankan tentang pencarian erti kehidupan yang sebenar. Kehidupan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang yang penuh dengan falsafah menjadikan beliau sebagai seorang negarawan yang dihormati. Majlis Pelancaran Buku ini bukan sahaja bertujuan untuk mempromosikan sebuah naskah ilmiah, malahan untuk menghargai segala sumbangan dan keringat yang telah dicurahkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia yang kelima dahulu. Kehadiran para tetamu dari pelbagai institusi dan agensi menunjukkan kesetiaan dan kepercayaan yang teguh kepada seorang personaliti yang sentiasa merendah diri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sebagai sebuah pertubuhan yang menjadi tempat rujukan masyarakat untuk mengenali Tun Abdullah Ahmad Badawi dan pentadbirannya dengan lebih dekat, penghasilan buku ilmiah seperti “Being Abdullah Ahmad Badawi: The Authorized Biography” ini telah menjadi permulaan yang baik untuk Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam meneruskan usaha, idea dan legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi. Sehingga kini, sambutan yang diterima melalui Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Badawi dan wakil agensi penjualan buku amat menggalakkan dan usaha untuk menghasilkan lebih banyak bahan ilmiah akan dilakukan seiring dengan matlamat Pertubuhan untuk menghargai dan meneruskan usaha Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *