News Detail

Aktiviti yang berlansung sepanjang tahun 2016/2017
Legasi March 9, 2017

PERBINCANGAN MEJA BULAT: ISLAM DAN PEMBANGUNAN MODAL INSAN

Oleh: Dr. Suhaili Alma’amun

Pada 2 Jun 2017, Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS), United Kingdom telah bersama-sama menganjurkan satu perbincangan meja bulat bersempena dengan kunjungan Tun Abdullah Badawi ke OCIS. Perbincangan meja bulat tersebut dipengerusikan oleh Pengarah OCIS, Dr. Farhan Nizami dan Dr. Suhaili Alma’amun dari Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi selaku moderator.

Jumlah kesemua pembentang adalah tujuh orang. Pembentang dari Malaysia adalah Prof. Dato’ Dr. Mohd. Yusof Haji Othman (Pengarah, Institut Islam Hadhari), Prof. Datuk Dr. Azizan Baharuddin (Ketua Pengarah, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)), Prof. Madya Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil (Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS). Pembentang dari OCIS pula terdiri daripada Dr Talal Al-Azem, Dr Salman Syed Ali dan Dr Basil Mustafa. Pihak Pertubuhan Legasi turut menjemput seorang pembentang daripada Graduate School of Asian and African Area Studies, Kyoto University, Jepun iaitu Dr. Ai Kawamura.

Tema utama perbincangan adalah Islam dan Pembangunan Modal Insan, dan ianya dipilih kerana ia merupakan salah satu daripada lima dasar utama Tun Abdullah ketika Tun menjadi Perdana Menteri kelima. Tun Abdullah juga dikenali sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan. Intipati perbincangan meliputi dua perkara iaitu pendekatan dan peranan institusi dalam pembangunan modal insan daripada perspektif Islam. Prof. Dato’ Dr. Mohd. Yusof Haji Othman dan Prof. Datuk Dr. Azizan Baharuddin mencadangkan pendekatan tawhidik manakala Dr. Basil pula berpendapat perlunya kepada aspek spiritual dan kepimpinan yang berasaskan kepada nilai ke arah pembentukan insan kamil (sempurna). Dari sudut institusi, Dr. Talal pula menekankan fungsi institusi pendidikan sebagai institusi tarbiyyah.

Beberapa orang pembentang memilih untuk menghadkan perbincangan mereka kepada bidang tertentu. Prof. Datuk Dr. Azizan Baharuddin menekankan kepada pendekatan STEM (science, technology, engineering and mathematics) yang perlu diasaskan kepada Quran dan Sunnah dan diintegrasikan melalui proses tadabbur dalam membentuk modal insan di bidang sains dan teknologi. Dr. Salman dan Dr. Ai Kawamura memfokuskan pembangunan modal insan dalam bidang yang lebih spesifik iaitu kewangan Islam dan kedua-duanya berpendapat institusi pengajian perlu bergerak selari dengan keperluan sumber manusia dalam bidang ini. Dr. Salman berpendapat madaris (sekolah agama) perlu mengambil peranan untuk mengatasi masalah ini.

Perbincangan ini membawa kepada cadangan untuk mengeluarkan buku Islam and Human Capital Development. Program ini diakhiri dengan lawatan delegasi di sekitar bangunan baru OCIS oleh Dato’ Dr. Syeikh Afifi Al-Akiti dan majlis berbuka puasa.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *